Yayasan Darussyifa

Sejarah Yayasan Darussyifa

Yayasan Darussyifa (YDS) diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965 pada 26hb April 2016 sebagai sebuah syarikat berhad menurut jaminan (Company Limited by Guarantee).

YDS merupakan idea asal pengasasnya Almarhum Tuan Guru Dato’ Haron Din bersama-sama dengan pucuk pimpinan Persatuan Perubatan, Pengubatan dan Kebajikan Islam Malaysia (Darussyifa’) yang bersepakat membuat ketentuan untuk menubuhkan YDS bagi melengkapkan keperluan aktiviti-aktiviti Darussyifa’ yang terhad.

Darussyifa’ adalah gabungan daripada perkataan Dar (rumah) dan al-Syifa’ (kesembuhan). Maka jelaslah salah satu aktiviti utama Darussyifa’ dan YDS adalah berkaitan dengan Rawatan dan Perubatan Islam.

Antara sandaran dan dalil kepada pendekatan rawatan seumpama ini dapat dilihat melalui firman Allah SWT yang disebut di dalam Quran dan juga Hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud seperti yang berikut :

a. Surah al-Isra’ (82) : “Dan kami turunkan dari al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan al-Quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian.”

b. Surah Yunus (57) : ” Wahai manusia, Sesungguhnya telah datang kepada mu pelajaran dari Tuhanmu dan penyembuh bagi penyakit-penyakit (yang berada) dalam dada dan petunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang beriman.”

c. Surah al-Syu’ara’ (80) : “Dan apabila aku sakit, Dialah yang menyembuhkan aku.”

d. Surah Fussilat (44) : “Katakanlah, Al-Quran itu adalah petunjuk dan penawar bagi orang-orang mukmin. Dan orang-orang yang tidak beriman pada telinga mereka ada sumbatan, sedang al-Quran itu suatu kegelapan bagi mereka.”

e. Surah At-Taubah (14) : “Dan (Allah) akan melegakan hati orang-orang yang beriman.”

f. Surah an Nahl (69) : “Kemudian makanlah dari tiap-tiap (macam) buah-buahan dan tempuhlah jalan Tuhanmu yang dimudahkan (bagimu). Dari perut lebah itu keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat yang menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran Tuhan) bagi orang-orang yang memikirkan.”

g. “Sebaik-baik penawar itu adalah al-quran.” (Diriwayatkan oleh Ibnu Majah di dalam Sunan Ibn Majah, Kitab al-Tibb, Bab : al-Istisfa’ bi al-Quran)

h. “Hendaklah kamu menggunakan dua penawar : madu dan al-Quran.” (Diriwayatkan oleh Ibn Majah di dalam Sunan Ibn Majah, Kitab al-Tibb Bab : Madu)

i. “Bagaimana kamu dapat mengetahui bahawa al-Fatihah adalah penawar kepada penyakit?” (Diriwayatkan oleh Muslim di dalam Sahih Muslim, kitab al-Salam, Bab : Jawaz akhdh al-‘Ujrah’ ala al-Ruqyah bi al-Quran wa al-Adhkar)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *