Pada tahun 2024, Darussyifa’ Malaysia telah merintis satu program peringkat antarabangsa iaitu ke negara Jepun. Negara Matahari terbit ini menjadi pilihan kerana umumnya, Malaysia mempunyai hubungan baik dengan Jepun yang telah terjalin sejak ‘Dasar Pandang ke Timur’ diperkenalkan pada 42 tahun lalu. Tambahan, sejarah perkembangan Darussyifa’ bersama dengan negara jiran sebelum ini juga menjadi titik tolak kepada keperluan program seperti ini.
Program ‘Ziarah Syifa’ Mahabbah Antarabangsa’ ini, dijalankan dengan usaha sama rakan-rakan kerjasama strategik Darussyifa’. Program rintis ini dirangka dengan masej bagi memperkenalkan bidang Pengubatan Islam Darussyifa’ Malaysia yang telah berkembang sejak 47 tahun lalu. Selain memperkenalkan ia kepada masyarkat antarabangsa, kerja-kerja pengumpulan maklumat juga dilakukan. Ini bagi mengenalpasti ruang-ruang pengukuhan dalam menempatkan Pengubatan Islam itu sendiri, selain dari menambah baik jaringan kerjasama yang lebih efektif.
Di peringkat permulaan ini, lokasi yang disasarkan adalah Osaka, Jepun. Sepanjang program dijalankan di sana, Darussyifa’ berjaya mengadakan jaringan bersama badan-badan tempatan seperti Japan Da’wah Center (JDC), Osaka Islamic Center (OIC) dan juga Badan Pengurusan Masjid Kobe (Masjid Tertua di Jepun).
Melalui sesi pengenalan yang dilakukan, respon positif diterima apabila kehadiran deligasi Darussyifa’ disambut dengan baik dan ianya diikuti dengan sesi perkongsian pengalaman serta pertukaran maklumat yang dapat menambahbaik pengurusan program pada masa hadapan.
Sepanjang di sana, deligasi Darussyifa’ turut memberikan khidmat masyarakat dalam bentuk rawatan Islam kepada masyarakat tempatan dan juga kelompok masyarakat luar yang mencari rezeki di Osaka. Ini juga disusuli dengan sesi-sesi penerangan berkenaan Darussyifa’ sendiri dan bidang Pengubatan Islam serta isu-isu yang berkaitan dengannya.
Dari maklum balas yang diperolehi, terdapat permintaan yang positif agar pengubatan Islam Darussyifa’ dapat dikembangkan di bumi Matahari Terbit ini. Tidak sahaja itu, rawatan Islam juga dilihat dapat memberi manfaat yang banyak kepada masyarakat Jepun ketika ini. Ini kerana sedia maklum mereka turut berhadapan dengan isu masyarakat menua dan isu kesihatan mental dalam golongan muda yang menjadi faktor mempengaruhi corak kesihatan rakyat di negara itu.
Darussyifa’ Malaysia merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam memberikan sokongan dalam menjayakan program ini. Semoga usaha-usaha langkah pertama yang dijalankan ini dapat memberikan manfaat yang baik kepada masyarakat antarabangsa di luar sana.