Darussyifa’ menyambut baik pindaan dan pelanjutan tempoh Pendaftaran Pengamal Perubatan Tradisional dan Komplementari (PT&K) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui kaedah pengalaman Pengamal seperti yang dinyatakan dalam hebahan Peraturan-peraturan Perubatan Tradisional dan Komplementari (PINDAAN) 2024 dan Garis Masa Pelaksanaan Pendaftaran Pengamal Perubatan Tradisional & Komplementari (PT&K) dalam tempoh peralihan yang dilanjutkan (Klik sini)
Dalam satu temubual bersama Timbalan Pengerusi Darussyifa’ iaitu Ust. Abd Rahman Nawas, beliau berkata:
“Kami mengharapkan semua perawat di Malaysia agar sama-sama menceburkan diri dalam bidang rawatan Islam. Bagi yang belum membuat pendaftaran, seharusnya mereka mengambil ujian i-Syifa untuk memudahkan membuat pendafataran. Keperluan ini bukan sahaja untuk merawat pesakit, tetapi juga untuk membenteras amalan-amalan yang bercanggah dengan rawatan Islam”
Usaha oleh PT&K untuk mendaftarkan pengamal pengubatan Islam adalah bertepatan kerana rawatan seperti ini banyak dilakukan di dalam Malaysia. Walaubagaimana pun ianya tidak dapat diketahui dan dapat disahkan apakah rawatan yang dijalankan tersebut bertepatan dengan syariat Islam atau tidak. Ia merangkumi pengetahuan berkaitan Ruqyah, penggunaan Al-Quran, penggunaan bahan-bahan rawatan, dan bagaimana kaedah rawatan dijalankan, sama ada boleh diterima atau tidak.
Oleh yang demikian adalah penting agar perawat-perawat perlu diperakui oleh Jabatan Agama Islam atau Jabatan Mufti tiap-tiap negeri atau juga boleh mendapat sokongan daripada Darussyifa’ selaku wakil badan pengamal dalam amalan Pengubatan Islam.
“Bagi perawat-perawat yang menggunakan kaedah Ruqyah Islamiah sebagai kaedah rawatan, apa yang patut dilakukan adalah mendapat perakuan pendaftaran secara rasmi dengan KKM di bawah PT&K di bawah Akta 775,” tambahnya lagi.
Akta 775 merupakan akta di bawah Undang-undang Malaysia untuk penubuhan Majlis PT&K bagi mengawal selia perkhidmatan PT&K di negara ini. Akta ini telah diluluskan di Parlimen Malaysia pada tahun 2016.
Oleh yang demikian Darussyifa’ juga menyeru para pengamal Pengubatan Islam di luar sana untuk mengambil langkah proaktif bagi mendaftarkan diri sebagai Pengamal Berdaftar yang diiktiraf.