Pandemik Covid-19 yang melanda awal tahun 2020 lalu banyak merubah persekitaran hidup masyarakat tempatan mahupun global. Walau bagaimanapun, kelangsungan hidup yang perlu diteruskan masih berjalan dan adakalanya ditempuhi tanpa mengambil kira pertimbangan persekitaran yang sewajarnya dan yang utamanya adalah pertimbangan aspek-aspek syariat yang perlu dipatuhi.
Perkara dan kes-kes seumpama ini banyak diterima Darussyifa’ dari kalangan masyarakat yang pelbagai. Antaranya adalah mereka yang hadir mendapatkan rawatan di pusat rawatan Darussyifa’ di Bandar Baru Bangi dan tidak kurang juga di Pusat-pusat Rawatan Kecil (PRK) Darussyifa’ di seluruh negara.
Susulan itu, Darussyifa’ kembali aktif melaksanakan program khidmat masyarakat luar atas keperluan dan juga permintaan yang dibuat secara bertulis kepada Darussyifa Pusat. Ianya bagi membantu serta meraikan masyarkat setempat yang berada di luar kawasan pusat-pusat rawatan Darussyifa’.
Antaranya adalah program yang dinamakan ‘Program 2 hari bersama Darussyifa’ yang membawakan modul program yang merangkumi slot-slot pengisan ilmu melalui ceramah umum, perkongsian berkumpulan, sesi soal jawab, pameran, dan rawatan pengubatan Islam secara bersasar. Ianya dikendalikan sepenuhnya oleh tenaga pegajar serta perawat-perawat Darussyifa’ yang berkompetensi.
Alhamdulillah, penganjuran program ini memberikan impak positif berdasarkan respon dan maklum balas dari masyarakat setempat yang hadir. Lebih lagi ia dilihat banyak memberikan kesedaran kepada masyarakat berkenaan kewujudan perkara-perkara kelaziman masyarakat, yang tanpa disedari sebenarnya bertentangan dengan syarak dan akidah. Tambahan, sesi pengisian lain juga turut membuka mata masyarakat awam tentang keperluan Pengubatan Islam dalam kehidupan masyarakat hari ini.