Dalam usaha meningkatkan kemahiran yang menepati penguasaan dalam bidang Pengubatan Islam, Darussyifa’ Malaysia menggunakan mekanisma Continuing Professional Development (CPD) atau ‘Pembangunan Professional Berterusan’. Ianya merupakan salah satu program yang disusun serta ditawarkan kepada perawat-perawat untuk meningkatkan professionalisma masing-masing.
Sebagai salah satu platform yang memenuhi mis-misi Darussyifa’ dari sudut pembangunan, ianya telah dirangka sejak tahun 2015 iaitu sewaktu keberadaan Pengasas Darussyifa’ lagi iaitu Almarhum Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din. Kesinambungan dari kerangka yang telah dibuat tersebut, CPD yang dirancang telah mula dibangunkan pada tahun 2017. Hasil dari itu, program CPD yang pertama telah dilancarkan pada awal tahun 2018. Sehingga hari ini banyak siri dan format CPD telah dilaksanakan serta dikemaskini untuk penambahbaikan dan pemantapan. Ia adalah aspek penting dalam memelihara pengetahuan, kemahiran agar praktik professional Pengubatan Islam dapat diselaraskan dengan perkembangan semasa.
CPD merupakan program pembangunan berterusan dan berpanjangan yang diaplikasikan bagi memastikan kompetensi perawat -perawat sentiasa dalam keadaan terbaik. Tujuan utama pelaksanaan program CPD ini adalah sebagai komponen pengembangan ilmu yang mana secara tidak langsung akan meningkatkan kemahiran Perawat-perawat Darussyifa’ selaku pengamal Pengubatan Islam yang aktif memberikan rawatan serta memberikan sumbangan kepada masyarakat yang memerlukan.